Saturday, October 25, 2008

UTUSAN ONLINE


FULL ARTICLE

FILEM merupakan suatu medium atau bahasa pengantar yang mudah untuk difahami oleh sesiapa juga, selain mampu untuk mengangkat identiti sesuatu bangsa dan negara hingga ke peringkat antarabangsa.

Bagi mencapai objektif tersebut, perlu ada ramuan-ramuan istimewa khususnya yang membabitkan pengetengahan unsur-unsur berteraskan budaya dan sejarah negara dalam sesebuah filem.

Justeru, sukar untuk disangkal bahawa elemen-elemen sejarah dan keunikan sesuatu budaya bangsa banyak membantu menarik perhatian para peminat bagi menonton sesebuah filem yang akan dihasilkan kelak.

Sayangnya, pendekatan itu kurang popular di kalangan para pembikin filem tempatan kerana filem genre budaya dan sejarah dikatakan sukar untuk memberi keuntungan kepada mereka.

Filem-filem budaya dan sejarah contohnya, dikatakan kurang mempunyai resipi-resipi komersial, selain sukar diolah menjadi suatu karya yang mudah serta menarik untuk dihayati di layar-layar perak. Malah, tidak dinafikan, filem-filem dalam genre itu juga biasanya memerlukan kos pembikinan yang tinggi, masa penggambaran yang agak lama dan juga usaha penyelidikan yang cukup mendalam.

Menyedari hakikat itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang telah dipertanggungjawabkan bagi memajukan industri perfileman di negara ini sejak 26 tahun lalu, haruslah menggalas tanggungjawab tersebut.

Menurut Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Prof. Dr. Hatta Azad Khan, pelbagai strategi harus dirangka oleh perbadanan terbabit bagi mencapai hasrat itu.

Katanya, perbadanan itu misalnya, harus bertindak proaktif supaya lebih banyak pembikinan filem-filem berunsur sejarah dan budaya seperti Paloh, Leftenan Adnan dan 1957: Hati Malaya dapat diterbitkan bagi memenuhi keperluan tersebut.

“Antaranya, kerajaan melalui Finas haruslah mewujudkan suatu dana atau geran khas bagi membiayai filem-filem dalam genre budaya atau sejarah kepada para pembikin filem kita yang mereka fikirkan layak.

“Cara itu bagi memastikan agar setiap tahun industri perfileman kita tidak putus dalam menghasilkan filem-filem genre tersebut,” katanya pada sesi Dialog Puncak Perdana - Pengantarabangsaan Filem Malaysia di UiTM, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Pendekatan itu sepatutnya dimulakan oleh Finas mulai sekarang kerana industri perfileman tempatan sejak akhir-akhir ini amat ketandusan filem-filem dalam genre tersebut.

Kalau adapun, bilangannya boleh dibilang dengan jari, tetapi mujurlah bulan depan sebuah filem berunsurkan budaya berjudul Wayang arahan Dr. Hatta Azad Khan akan ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara.

Wayang yang mengisahkan tentang perjuangan seorang Tok Dalang di Kelantan dalam usahanya bagi menghidupkan seni persembahan wayang kulit sarat dengan unsur budaya dan bahasa dari Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Pada masa yang sama, filem-filem genre budaya dan sejarah dilihat sukar untuk menyaingi filem-filem komersial yang mendapat tumpuan ramai bukan sahaja daripada kalangan penerbit, tetapi juga para peminat filem tempatan.

Perkembangan itu jika tidak diberi perhatian serius ia mungkin akan mewujudkan ketidakseimbangan dalam genre-genre filem yang akan disajikan kepada para penonton di negara ini.

Ini kerana, medium perfileman bukan setakat sebagai suatu bentuk hiburan semata-mata, sebaliknya ia mampu untuk dijadikan sebagai salah satu cara menyimpan khazanah-khazanah seni warisan budaya dan sejarah bangsa.

Sebagai contohnya, sesebuah filem yang memaparkan unsur-unsur budaya dan sejarah tentunya boleh dijadikan sebagai ‘perakam’ terbaik, termasuklah apa-apa juga peristiwa yang berlaku pada hari ini untuk tatapan generasi akan datang.

Pendekatan itu sudah lama digunapakai oleh negara-negara seperti Korea, Iran dan Thailand di mana kesannya, filem-filem terbitan mereka bukan sahaja menarik dan unik untuk ditonton di negara masing-masing.

Sebaliknya, keunikan paparan budaya dan latar belakang masyarakat yang dipaparkan menerusi layar perak turut memperkenalkan lagi budaya serta negara mereka kepada khalayak antarabangsa.

Menyokong

Malah, kerajaan negara-negara terbabit juga telah banyak menyokong, antaranya dengan cara menyediakan dana-dana khas bagi membantu para penerbit mereka menerbitkan filem-filem yang sebegitu.

Bagi mencapai hasrat tersebut, Finas juga contohnya, boleh mewujudkan geran khas bagi diperuntukkan ke atas penerbitan sekurang-kurangnya tiga buah filem berbentuk budaya atau sejarah tempatan dalam masa setahun.

Dana sebanyak RM10 juta misalnya, harus disediakan oleh Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) kepada Finas bagi membiayai tiga buah filem sejarah dan budaya setahun.

Bayangkanlah, jika pendekatan itu diberi perhatian terutamanya oleh Pengerusi Finas yang baru, Datuk Razali Ibrahim, maka industri filem tempatan sekurang-kurangnya bakal mempunyai 15 buah filem sejarah dan budaya dalam masa lima tahun yang akan datang.

Selama ini, Finas memang telah banyak menggalak serta membantu mempertingkatkan lagi industri perfileman tanah air seperti dengan menyediakan dana Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC) kepada para penerbit filem, tetapi ia hanya dalam bentuk pinjaman bank.

Namun, bagi mencapai hasrat murni tersebut, geran khas yang dicadangkan itu bolehlah diberikan sepenuhnya tanpa cagaran atau bayaran semula kepada para pengarah filem yang Finas fikirkan layak untuk misi itu.

Malah, filem-filem budaya dan sejarah yang akan diterbitkan kelak pula, boleh dijadikan sebagai suatu khazanah milik mutlak KPKKW atau kerajaan yang mana ia boleh digunakan untuk pelbagai tujuan pada masa depan.

Sementara itu, bagi pengarah filem Estet, Mamat Khalid pula, beliau cukup bersetuju dengan cadangan tersebut kerana katanya, negara ini mempunyai banyak unsur budaya dan sejarah yang belum digali serta diketengahkan melalui medium perfileman.

budaya

“Kita ada bermacam-macam budaya dalam masyarakat berbilang bangsa di negara ini, tetapi mengapa ia tidak diketengahkan? Sedangkan pada masa yang sama, kita sibuk pula meniru cerita atau budaya orang luar,” ujarnya.

Estet yang dilakonkan oleh pelakon utamanya, Farid Kamil dan barisan pelakon baru terutamanya daripada kalangan kaum India mengisahkan tentang masyarakat itu yang tinggal di kawasan-kawasan estet.

Jelas Mamat, selain boleh mengekalkan seni budaya dan gaya hidup masyarakat tempatan, filem-filem dalam genre itu juga mudah untuk dipasar serta dipertandingkan di festival-festival filem peringkat antarabangsa.

“Keunikan budaya dan sejarah dalam negara ini merupakan suatu kelainan yang tidak terdapat di negara lain. Orang luar mahu melihat apa yang tidak ada di negara mereka, termasuklah juga menerusi medium perfileman.

“Kalau bercakap soal sejarah, saya rasa banyak tokoh pejuang kita seperti Tok Janggut, Mat Kilau dan Tok Bahaman yang belum pernah diangkat ke layar perak oleh orang kita sendiri.

“Banyak cerita menarik berdasarkan fakta sejarah yang boleh diketengahkan kepada para penonton tentang ketokohan mereka menentang penjajah British suatu ketika dulu. Ia tentunya juga boleh dihayati oleh generasi muda,” jelasnya.

Dalam hal itu, Presiden Persatuan Pengeluar- Pengeluar Filem Malaysia, Ahmad Puad Onah, berkata, pendekatan formula itu harus dimulakan oleh Finas sebelum ia menjadi ikutan para penerbit filem komersial yang lain.

“Finas kena mula dahulu kerana mereka sebagai penggalak dalam industri ini dan mewakili pula pihak kerajaan. Mereka harus menyokong usaha seperti itu 100 peratus.

“Saya yakin kalaulah formula itu diguna pakai dan berjaya, ramai pembikin filem yang akan mengikutinya,” ujarnya.

Justeru, dalam pada kita sibuk mahu mengangkat filem-filem tempatan hingga ke peringkat antarabangsa, tetapi pada masa sama kita lupa bahawa terdapat banyak ramuan istimewa yang belum banyak digunakan bagi mencapai hasrat tersebut.



No comments: