Friday, September 19, 2008

PASCA - Menjejak Pemikiran Mamat Khalid

Sumber : Akhbar Utusan Malaysia
20 September 2008 / 20 Ramadan 1429

Filem Mamat Khalid sarat wadah budaya

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

APABILA berbicara tentang sutradara Mamat Khalid tentunya ramai penonton yang skeptikal dan beranggapan beliau merupakan seorang pengarah filem yang tanpa hala tuju dalam berkarya.

Pandangan itu tercetus apabila melihat kebanyakan filem arahannya dikatakan seakan-akan seperti menampilkan lawak bodoh lagi merapu-rapu, filem kampung atau longgar daripada segi pengisian mesej tersirat di sebalik karya-karyanya itu.

Bagaimanapun, ramai yang kurang menyedari bahawa Mamat merupakan seorang pengarah yang cukup berambisi dalam usahanya untuk memperkayakan khazanah filem Melayu dengan menggunakan unsur-unsur budaya setempat.

Pengkritik filem, A. Wahab Hamzah misalnya, menyifatkan Mamat seorang pengarah yang banyak menyelitkan unsur-unsur sindiran biarpun secara luarannya filem-filem arahannya itu kelihatan seperti menampilkan lawak-lawak yang merapu.

“Pada mulanya saya sendiri pun tidak perasan dengan pendekatan Mamat itu. Tetapi selepas saya tonton satu persatu filem-filem beliau, barulah saya dapati ada sesuatu di sebaliknya.

“Contohnya, dalam filem Zombi Kampung Pisang Mamat cuba menonjolkan serta mengkritik tentang sikap golongan-golongan kapitalis yang rakus untuk menguasai orang kampung dan juga golongan orang beragama.

“Bagi saya, mesej yang cuba disampaikan dalam filem ini lebih menarik berbanding Kala Malam Bulan Mengambang yang juga diarahkannya,” katanya pada Seminar Pemikiran Mamat Khalid di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.

Jelas A. Wahab, terbukti filem-filem Mamat yang telah ditontoninya banyak mencerminkan tentang sosio budaya masyarakat berbilang bangsa di negara ini yang mesej-mesejnya berjaya digarap dengan begitu halus sekali.

Meskipun, terdapat unsur-unsur yang melampau yang cuba digambarkan oleh Mamat seperti watak penyanyi Datuk M. Daud Kilau turun dari langit dalam filem Man Laksa, tetapi ia mempunyai kritikan tersendiri di sebaliknya.

“Saya akui filem-filem arahan Mamat sarat dengan gaya kehidupan dan budaya setempat. Filem Zombi Kampung Pisang misalnya, menampilkan elemen hantu yang mungkin di bawa dari luar tetapi ia disesuaikan dengan budaya tempatan.

“Mamat juga cuba memasukkan unsur mitos dalam karya-karyanya dan ini amat penting kerana bagi saya, sesuatu masyarakat itu harus ada mistosnya yang tersendiri kerana tanpanya kita akan hilang jati diri,” ujarnya.

Seorang lagi pengkritik filem Norman Yusof menyifatkan filem-filem arahan Mamat bukanlah karya lawak merapu seperti yang dilemparkan oleh segelintir pihak, sebaliknya, terdapat banyak unsur moral yang cuba diterapkan.

Sayangnya kata Norman, mesej dan gaya penyampaian Mamat itu mungkin belum dapat dilihat secara terus oleh para penonton.

Ini kerana katanya, pengarah seperti Mamat bijak dalam melindungi mesej serta kritikannya itu menerusi adegan atau watak yang harus ditafsirkan secara mendalam mengikut keadaan serta peristiwa yang berlaku di sekelilingnya.

“Saya dapati Kala Malam Bulan Mengambang mempunyai banyak unsur moraliti di mana watak utama filem itu yang dilakonkan oleh Rosyam Nor seakan-akan berperanan untuk mencari suatu kebenaran yang terslindung.

“Gaya sinematografi dalam filem itu seperti bantuan daripada limpahan cahaya, bayang-bayang dan warna hitam putih turut membantu Mamat dalam menyampaikan mesej-mesejnya itu,” katanya.

Marhaen

Sementara itu, seorang lagi pengkritik filem Dr. Zulkifli Mohd. turut mengakui bahawa filem-filem Mamat Khalid sarat dengan unsur-unsur budaya dan gaya kehidupan masyarakat marhaen yang begitu dekat dengan gaya penontonan di negara ini.

Katanya, perkara itu dapat dilihat menerusi filem arahan Mamat berjudul Rock.

Karya itu disifatkannya berjaya mengimbas nostalgia para peminat rock di negara ini pada tahun 1980-an yang juga pernah mencetuskan suatu fenomena di negara ini.

“Saya dapati filem-filem arahan beliau bukannya menceritakan tentang perkara yang gah atau yang hebat-hebat tetapi ia cuma sekadar cerita tentang orang biasa sahaja tetapi ia dekat dengan hati dan masyarakat penontonnya.

“Lihat sahajalah filem Rock. Ia cuma mengenai anak-anak muda. Sewaktu saya tonton filem itu di Kajang, Selangor, pawagam menjadi riuh rendah dengan penonton yang kebanyakannya daripada kalangan mat rock,” komennya.

Selepas mendengar komen dan pandangan daripada tiga pengkritik filem tersebut, Mamat kemudiannya tampil sedikit sebanyak mendedahkan tentang gaya serta matlamat penghasilan filem-filem arahannya.

Jelas adik kepada kartunis Datuk Lat ini, beliau sentiasa menggunakan medium perfileman sebagai suatu cermin kehidupan untuk mengetengahkan apa-apa juga isu atau cerita yang sedang dan telah berlaku di kalangan masyarakat masakini.

Kata Mamat, beliau cuba menjadikan filem-filem arahannya menjadi sebuah produk yang sarat dengan budaya setempat selain mengemukakan sindiran semasa yang harus difikir serta ditafsirkan oleh para penonton mengikut pendekatan masing-masing.

“Saya sebenarnya mahu menganggap medium perfileman sebagai satu cabang budaya tidak kira budaya apa juga termasuklah budaya berfikir. Sayangnya, orang kita hanya menganggap filem sebagai bahan hiburan semata-mata.

“Kita belum membicarakan filem daripada sudut budaya. Mungkin tahap kita belum sampai seperti pemikiran masyarakat negara maju seperti di Eropah yang berjaya menjadikan filem sebagai suatu wadah budaya untuk sajian masyarakat mereka,” jelasnya.

Biarpun dikenali sebagai pembikin filem arus perdana, tetapi pada masa sama Mamat menjelaskan beliau tidak mahu terlalu terikut-ikut dengan rentak trend filem semasa yang banyak dipengaruhi oleh kalangan ahli-ahli akademi atau pengkritik filem yang seolah-olah masih streotaip.

Ini kerana katanya, apa yang berlegar di benak pemikiran para pengkritik yang melihat filem-filem arahannya daripada sudut-sudut berbeza di mana ia tentunya tidak sama dengan gaya pemikiran pengarah sepertinya yang mewakili golongan kreatif.

Beliau turut menyeru agar para penonton tidak terlalu menghukum seseorang pengarah dengan sesuatu karya lain daripada lain yang telah dihasilkan tanpa memberi ruang kerana ia boleh menyekat kreativiti pengarah sepertinya.

“Saya bikin filem mengikut naluri saya dan bukannya dipengaruhi oleh orang di sekeliling saya. Sebab itu saya minta agar masyarakat terutamanya orang Melayu dapat terima gaya pembikinan filem-filem arahan saya.

“Kalau boleh janganlah kita mudah untuk menghukum para pembikin filem macam saya. Ini kerana, apa yang ingin saya buat ialah menyajikan hiburan dan di sebalik filem itu fikirlah sendiri,” ujarnya.

Menurut Mamat lagi, kebanyakan idea dalam penghasilan filem-filem arahannya tercetus secara spontan tetapi ia kemudiannya dikembangkan dengan mengambil kira apa yang berlaku dalam masyarakat di sekelilingnya.

Beliau memberi contoh tentang judul filem terbarunya yang berjudul Robert Lam Seri Panggung yang hanya sekadar sebuah tajuk dan belum mempunyai mempunyai skrip dan perancangan untuk penggambaran.

Walau apa juga tajuk dan genre filem arahannya, Mamat seolah-olah menagih pengertian daripada para penonton terutamanya para pengkritik filem agar lebih terbuka dalam melihat filem-filem arahannya.

“Dulu A. Wahab Hamzah pernah kata saya ‘membunuh’ filem Man Laksa kerana saya cuba tonjolkan watak seperti Mat Jenin dalam filem tersebut. Saya memang sengaja mencipta watak itu yang seperti anti-hero.

“Saya juga buat filem noir atau hitam putih bukan kerana warna kerana ia hanya suatu gaya imejan. Bagi saya ia tetap warna. Malah, imej gelaplah yang boleh menampakkan mesej kegelapan di sebaliknya,” katanya lagi penuh makna.

___________________________________________________________________

sumber : HARIAN METRO

Visi besar Mamat Khalid

Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my


Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohd Khalid, bukan orang lama dalam industri perfileman dan baru mengarah enam filem. Tetapi karya dihasilkan berbeza dengan orang lain dan setiap produknya mempunyai mesej serta fokus kepada siapa mahu didedikasikan cerita berkenaan.

Institut Kesenian & Kajian Media Malaysia (INKEM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil inisiatif mengadakan Seminar Menjejak Pemikiran Mamat Khalid di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang baru-baru ini bagi merungkai bagaimana cara anak kelahiran Ipoh, Perak itu berkarya.

Seminar dikendalikan Dr Mahadi J Murad itu menampilkan empat panel iaitu Mamat Khalid, pensyarah UiTM, Dr Zulkifli Mohamad dan Norman Yusof serta pengkritik filem, A Wahab Hamzah.

Meskipun filemnya ringan, Mamat mempunyai visi besar mahu orang ramai menganggap filem sebagai budaya Melayu dan bukannya hiburan semata-mata seperti orang Eropah yang memaparkan kehidupan mereka di layar perak.

Katanya, pada permulaan Revolusi Islam Iran oleh Ayatollah Khomeini, beliau menutup semua disko dan kelab malam. Tetapi beliau mengatakan panggung wayang harus dibuka kerana itu caranya menyampaikan hasrat dan budaya Islam. Mereka nampak pawagam saluran terbaik memperkatakan soal budaya.

“Saya tidak pernah meletakkan diri sebagai ilmuwan filem, tetapi sebagai pembikin filem. Jika saya letakkan diri sebagai ilmuwan filem, hasil kerja saya akan jadi lain. Apa yang saya buat sekarang perkara sebenar mengikut diri sendiri,” katanya.

Kata Mamat, sewajarnya masyarakat perlu faham apa yang pembikin filem mahu buat dalam filem berkenaan dan kita tidak boleh terus menghukum apabila cerita dipaparkan tidak kena dengan kemahuan kita.

“Setiap filem yang saya hasilkan berbeza dan ada identiti tersendiri. Contohnya dalam filem Rock, hanya rockers yang faham kerana ia dihasilkan untuk golongan berkenaan. Jadi kalau Mat Bunga menonton pasti mereka tidak tahu apa hendak ditonjolkan.

“Begitu juga dengan Man Laksa yang mendapat kritikan kerana ia persis Mat Jenin. Jadi kalau kita marah dengan mereka, jangan jadi seperti golongan itu dan kita perlu ubah sikap,” katanya.

Mamat yang pernah mendapat anugerah Lakon Layar Terbaik menerusi filem Puteri Gunung Ledang di Festival Filem Malaysia ke-18 (FFM18) pada 2005 dan Pengarah Filem Terbaik FFM21 melalui Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) baru-baru ini berkata, dia lebih puas menghasilkan filem KMBM juga dianggap mahakaryanya (masterpiece).

“Melalui filem hitam putih ini membuatkan saya nampak objek dalam gelap. Saya rasa kita sudah hilang zaman keagungan filem Melayu yang masyhur sebelum ini. Dulu filem kita mampu bersaing dengan Jepun dan dihormati ramai.

“Apa yang yang saya buat menerusi KMBM ialah meminjam ‘magic’ untuk bagi suntikan semangat kepada orang lain. Saya akui masih kecil dalam bidang filem, tetapi saya berharap dengan pemikiran yang ditampilkan ia dapat memberi sesuatu supaya orang berfikir.

“Sebagai contoh, bagaimana arwah Loloq yang membawa watak tauke Cina menguasai perniagaan membekal pentas dan peralatan elektrik sewaktu pesta dalam filem Man Laksa,” katanya.

Sementara itu A Wahab berkata, secara jujur dia tidak gemar dengan filem Man Laksa kerana mempunyai pandangan berbeza. Dia melihat pemikiran Mamat lebih menyerlah dalam filem Zombie Kampung Pisang berbanding KMBM yang dipuji ramai.

“Saya lihat pemikiran Mamat lebih menarik dan halus dalam filem ini kerana ia setia dengan genre Zombie yang diketengahkan. Ia dapat menonjolkan bagaimana kapitalis meragut kejujuran orang kampung dengan menggunakan kaedah cukup tidak baik sehingga memusnahkan tamadun,” katanya.

Dr Zulkifli pula berkata, setiap filem Mamat mempunyai elemen budaya dan sarat dengan mesej menggunakan kiasan supaya orang berfikir.

“Banyak cerita dihasilkannya ada usaha antropologi mengenai orang biasa seperti filem Rock yang menonjolkan kegilaan anak muda terhadap irama berkenaan pada waktu itu. Malah penonton menyaksikan begitu dekat dengan cerita dipaparkan,” katanya.

Bagi Norman, cerita Mamat banyak memaparkan keadaan sosial dan politik semasa seperti Lang Buana dan Man Laksa. Malah orang yang menonton filemnya boleh bertelagah menentukan konsep kerana ia sarat dengan konsep satira, komedi, nostalgia dan parody.

“Setiap bangsa mempunyai mitos tersendiri, begitu juga dalam KMBM yang menampilkan mitos harimau jadian. Kalau bangsa yang tiada mitos, ia seperti hilang kekuatan dan jati diri.

“Ibarat kita ketawakan diri sendiri apabila ketawa menonton filem kerana ia realiti yang berlegar dalam masyarakat. Banyak filem dihasilkan Mamat dekat dengan masyarakat seperti sireh pulang ke gagang apabila menontonnya,” katanya.

___________________________________________________________________

sumber : DR.ZULKIFLI MOHAMAD

Membaca Pemikiran Mamat Khalid


Pada hari Isnin 15 September lalu, FINAS dan INKEM(UITM) berkerjasama mengadakan forum filem yang lebih bersifat bicara seni di FINAS mulai jam 5 petang hingga 7 malam diikuti dengan majlis buka puasa. Panel-panelnya adalah A.Wahab Hamzah yang selalu menulis dalam Utusan Malaysia, Norman Yusof dari program Skrin UITM dan saya sendiri. Acara dimoderatorkan oleh Dr.Mahadi J.Murad yang pernah meraih anugerah Filem Asia Pasifik untuk filemnya Sayang Salmah (tapi lupa anugerah untuk kategori apa, mungkin pelakon utamanya). Aku sendiri bukanlah orang filem dan belum pernah buat apa-apa filem, cuma kenal dengan beberapa pengarah, pekerja dan pelakon filem. Walaupun dah kata begitu aku pernah lah menulis artikel-arikel yang menyentuh filem selama menulis di ruangan budaya popular di suratkhabar KOSMO (2006-2007). Sekarang aku dah tak menulis lagi. Lagipun suratkhabar tu dah laku, tak ada space untuk aku tulis.

Rasanya perjalanan forum malam tu berjalan lancar, cuma kalau kita masih ada banyak masa, kita bolehlah menyentuh hal-hal lain dalam produksi filem. Malam tu kita lebih menyentuk kepada perkara asasnya dahulu, hal-hal yang ada di dalam Film Studies. Kita bertuah kerana kita ada pengarahnya Saudara Mamat Khalid. Jadi program dah jadi bertambah baiklah. Selalunya sebenarnya tuan pengarah tak perlu ada pun kalau kita membuat forum membaca karya seseorang pengarah. Kalau kita nak bertanya direct dari dia itu bukan lagi membaca karya namanya, itu dah temuduga terus dengan beliau. Dan saya rasa program sebegini dah banyak ada. Ini adalah pertama kali program sebegini diadakan terutamanya di finas. Mungkin kalangan filem dan pelajar kita masih belum pernah menghadiri acara sebegini. Jadi memanglah agak sedikit intelektual sifat perbicaraannya. Namakan mau membentuk Budaya Filem, kan Mamat sendiri pernah mengatakan malam itu. Ini bukan sesi bertemu peminat, kalau itu yang dinamakan acara membentuk khalayak filem. Jadi budaya filem itu bukan hanya ada satu lapisan sahaja, ada di kalangan akademik dan intellektual, ada di kalangan pengajar, ada di kalangan wartawan, ada di kalangan peminat( yang hanya menonton tv dan tidak membayar tiket di pawagam), ada di kalangan penonton yang benar-benar. Rasanya kita di Malaysia masih belum membuat pecahan-pecahan pasaran filem Melayu dan filem melayu yang bagaimana. Mungkin ini harus di bicarakan selepas ini, tapi ini harus dibicarakan dengan statistik yang telah dijalankan, itu pun kalau penyelidikannya betul. Apapun ini satu jalan baru, marilah kita merayakannya!

____________________________________________________________________

sumber : AJAMI HASHIM

Lagi-Lagi Mamat Khalid?


Another Brick in the Wall ~ Pink Floyd

We don't need no education
We don't need no thought control
No dark sarcasm in the classroom
Teacher, leave those kids alone
Hey, teacher, leave those kids alone!
All in all it's just another brick in the wall
All in all you're just another brick in the wall

We don't need no education
We don't need no thought control
No dark sarcasm in the classroom
Teachers, leave those kids alone
Hey, teacher, leave those kids alone!
All in all you're just another brick in the wall
All in all you're just another brick in the wall


Salaam..

Kalau dah keluar setakat satu artikel kat surat khabar tak bermakna aku sudah ke depan sgt utk menjadi pengkritik filem tegar mainstream? Tidakkk! Aku lebih suka dlm ruang blog krn setiap buah fikiran aku adalah bebas dr sebarang suntingan org lain. Akulah penulis, akulah penyunting, akulah penerbit! Tapi adakah aku hipokrit langsung tidak kepingin utk terus mendpt ruang seterusnya di media cetak? Mungkin! Jujurnya aku mahu, tapi adakah yg sudi dan izinkan utk aku menjajah satu kolum ulasan sinema yg sememangnya sudah ada empunya? Lagipun kabel aku tiada. Apatah lagi dgn nama Ajami Hashim yg tidak segah A.Wahab Hamzah atau Ku Seman? Itu belum pula kalau ada yg bertanya apa lulusan kewartawanan yg aku punya? Ikhlasnya, aku berterimakasih kpd Amir Muhammad kerana berikan aku peluang itu walaupun mungkin hanya sekali & terakhir. Cukuplah dgn sms yg melambak dr kawan2 ucapkan tahniah & berkata 'bagus ulasan kau!' Tapi jauh di sudut hati aku, ruang itu terlalu besar tanggungjawabnya krn seandainya aku tersalah tafsir filem org maka aku akan jadi 'penghukum' yg tidak bertauliah! Semlm masa bersembang dgn Raja Mukhriz di gerai nasi ayam, itu yg aku beritahu dia. Mengulas atau mengkritik sesebuah filem bukan sekadar suka2 utk menunjukkan kita kononnya 'pandai' membaca karya seseorg pengarah shj krn setiap bait ayat takrifan kita mungkin akan dibaca & diberi respon oleh satu produksi yg terlibat! Aku ulang: satu produksi! Maknanya dari sekecil-kecil tugas makcik katering sampailah kpd empunya sesebuah empayar penerbitan sekaligus!

Perihal ini berlaku di depan mata & kudengar sendiri semlm di forum Mamat Khalid. Benar! Aku tidak memperlekehkan nawaitu majlis itu yg suci-murni utk memerah apa yg ada pada Mamat Khalid. Tapi krn keterlebihan ahli panel hingga ia menjadi medan perebutan limelight siapa yg lebih berilmu utk mentafsir karya2 beliau? Bayangkan bila aku sendiri jadi sikit keliru dgn bauran pndpt yg berkecamuk bila digaulkan semuanya? Apa pula yg singgah di kepala otak setiap pelajar UiTM yg jadi khalayak? Antara mereka ini mesti ada yg akn jadi generasi akn dtg sbg pembikin filem. Keliru jugakah mereka? Mamat Khalid tidak dpt ruang yg sewajarnya utk dia bercerita sebaliknya khalayak dihidangkan dgn santapan metodologi setiap panel lain dimana ada yg kena & ada yg tersasar! Ini pndpt aku: selayaknya ruang semlm diberikan 100% kpd Mamat Khalid! Campakkan soalan misalnya 'kenapa filem anda ada unsur magic realism or surrealism?' Atau siapa Federico Fellini, Luis Bunuel, Fritz Lang atau Mat Sentol yg jd inspirasi beliau? Tanyakan juga apa yg best sgt filem2 Roma, Brazil, Stray Dogs & Life of Brian dr tontonan kegemaran beliau? Mungkin juga boleh disoal kenapa buku2 Kurt Vonnegut, Hunter S. Thompson dan A. Samad Said yg dibacanya? Malah soalan paling bangang yg aku akn tanya ialah 'kenapa tuan mahu jadi director?' Mesti berjela-jela Mamat Khalid akan menglipurlarakan al-kisah dirinya. Kesimpulannya, mungkin panel semlm sudah buat rujukan asas tapi tidak terlalu mendlm sehingga terlupa arah-tuju forum itu sebenarnya utk 'menjejak pemikiran Mamat Khalid'.. bukannya pemikiran para panel! Ouch!

Titanic! Forum tersebut seperti sebuah kapal yg dipandui oleh lebih seorg nakhoda dimana brader Mamat Khalid hanya menjadi sailor yg memegang stereng.. rasanya ia agak kekeliruan destinasi kerana masing2 mahu menghalakan kapal ke arah utara, selatan, timur & barat.. lalu ter-blur-lah Mamat tak tahu hendak ke mana sebenarnya?.. kasihan sungguh akhirnya ia karam!.. so, sbg pemujuk ke-kuciwaan brader Mamat, terimalah lagu dari artis kegemaran mu.. Pink Floyd dgn lagu mereka Another Brick in the Wall.. enjoy sambil pakai pelampung keselamatan tau!

FADE IN:

EXT. FORUM GERAI NASI AYAM - NIGHT

AJAMI: Kenapa tuan mahu bikin filim?

MK: Sebab ayat terakhir dari arwah ayah abang masa umor 10 tahun ialah "udah-udah ler nengok wayang"

AJAMI: Kita tutup forum kita malam ini! Sekian terima kasih!

_____________________________________________________________________________________

sumber : RATNA KESUMA

MAMAT DAN PEMIKIRANNYA

baru-baru ini aku menghadiri seminar yang bertajuk 'MENJEJAK PEMIKIRAN MAMAT KHALID' yang dianjurkan oleh INKEM dengan kerjasama FINAS dan UiTM. walaupun aku jarang sekali menghadiri seminar-seminar yang sebegini, tapi seminar ini buat pertama kalinnya mendapat sambutan yang begitu menggalakkan sehingga ada 'peserta' yang terpaksa berdiri kerana tidak cukup kerusi.

aku pada mulanya agak bangga juga lah kerana terdapat begitu ramai manusia yang memberi sokongan. tapi bila ku lihat sekeliling, aku tersenyum sendirian. patut lah ramai, UiTM sendiri menyediakan 2 buah bas dan pelajar semester satu kelihatannya sungguh excited untuk menyertai seminar ini. tapi bila seminar bermula, ada yang tidur, ada juga yang berbual sesama sendiri dan tidak memberi tumpuan kepada topik yang sedang diperbincangkan. tapi tak mengapalah. first time agaknya....

berbalik kepada tajuk seminar itu, aku jadi bingung. tajuknya 'MENJEJAK PEMIKIRAN MAMAT KHALID', tapi dari seminar bermula sehinggalah tamat, aku masih lagi kurang faham apa perlunya mamat khalid di situ jika panel2 yg lain tak habis2 melontarkan teori masing-masing mengenai filem2 abang mamat khalid. itu sahaja. mereka bukannya menjejak pemikiran mamat khalid, tetapi mereka menjejak pemikiran mereka sendiri sebenarnya.

mamat khalid kelihatannya agak resah apabila panel2 mula menafikan pemikirannya. pabila saudara A. Wahab Hamzah mengulas tentang filem 'KALA MALAM BULAN MENGAMBANG', beliau menyatakan bahawa beliau kurang jelas kenapa mamat memilih untuk buat black & white sedangkan kita sekarang berada di zaman moden dan warna yang pelbagai itu adalah satu daya penarik yang hebat. mamat seperti selalu, tenang menjawab. katanya warna hitam itu adalah terdiri daripada pelbagai jenis variasi warna. dan beliau nampak banyak warna yang lahir daripada warna hitam itu sendiri yang orang lain mungkin tidak nampak.

aku teringat subjek seni visual yang ku pelajari sewaktu aku di semester 3. ya! lecturer aku pernah berkata warna hitam terdiri daripada segala jenis warna.

mungkin panel-panel semua kurang memahami apa yang dinyatakan oleh mamat khalid kerana mereka semua golongan yang sungguh terpelajar di dalam bidang seni dan mereka lebih tertumpu kepada teori2 yang hanya menari2 di minda. sedangkan abang mamat adalah seorang yang tidak bergantung kepada teori semata2. beliau mempraktikkan dan mengaplikasikan apa yang beliau rasa penonton patut fahami. aku kurang senang dengan peluru2 yang dilontarkan ahli panel kepada mamat khalid kerana dia juga mempunyai kebebasan dalam berkarya. sama seperti amir muhammad dan yasmin ahmad. bezanya cuma, mamat lebih berjiwa melayu dan malaysia berbanding kedua-dua pengarah alternatif itu.

walau bagaimanapun, seminar ini tetap memberi aku input2 yang menarik mengenai dunia seni dan perfileman. dan tak lupa juga juadah berbuka puasa yang disediakan oleh pihak FINAS. memang best.....

____________________________________________________________________________________

sumber : AMY IKRAM ISMAIL

MENJEJAK PEMIKIRAN MAMAT KHALID

Semalam, 15 September 2008 antara pukul 4.30 petang hingga 7.30 malam bertempat di Pawagam Mini P.Ramlee, Finas telah berlangsungnya satu forum yang membincangkan hala tuju pemikiran pengarah tersohor, Mamat Khalid telah diadakan dengan jayanya. Majlis yang dianjurkan Universiti Teknologi Mara ( UiTM ), kerjasama FINAS ini telah dihadiri beberapa tetamu yang memenuhi ruang pawagam yang rata-ratanya dikalangan penggiat filem tempatan, pelajar filem UiTM dan para blogger, khususnya blogger sensasi, Ajami Hashim turut datang memeriahkan acara. Walaupun saya hanya masuk dalam lingkungan 15 minit dalam pawagam Finas, menyaksikan kelantangan Mamat Khalid bersuara atas dasar pemikirannya dalam industri nyata memberikan sisi pandangan yang cukup ekslusif tentang penglibatannya dalam industri filem tempatan ini. 'Kala Malam Bulan Mengambang' , nyata memberikan signifikan yang amat positif terutama dalam sejarah perfileman di Malaysia dengan kemenangannnya pada malam FFM21 Putrajaya telah menyuntik semangat baru para penggiat filem yang lain dalam menghasilkan naskhah yang benar-benar kreatif yang mempunyai falsafah pemikiran yang tersendiri. 'Estet' adalah karya terbaru Mamat Khalid yang saya rasa akan mencipta satu lagi sejarah dalam industri filem tempatan tahun 2009 nanti.

Walaupun meriahnya majlis tersebut semalam, saya tidak dapat menghadirinya secara penuh atas dasar kerja dan komitment lain, namun saya nantikan acara-acara seperti ini lagi di masa akan datang yang saya rasa mungkin selepas ini, pengarah Yasmin Ahmad pula akan membuka tirai 2009 dengan Muallafnya pulak. Justeru, pada penggiat filem lain, teruskan berkarya yang 'baik-baik' dan binalah pemikiran penonton kita agar mereka menghargai arus pemikiran yang kita jalurkan bersama dalam membina sinema kita agar berada di puncak nun jauh di sana..

Salam Ramadhan buat semua warga filem Malaysia..
Juga buat blogger yang tak pernah jemu memberikan sisi pandangannya terhadap sinema Malaysia, Ajami Hashim..

______________________________________________________________


sumber : Amer Zaman

Menjejaki Mamat Khalid

Anda pernah terbaca,antara entri saya yang lalu bertajuk Pengarah Berfikir, Aku Memikir. Itu adalah entri saya yang mengapresiasikan pengarah filem yang befikir. Di dalam entri tersebut, saya menyatakan kekaguman saya terhadap pangarah Mamat Khalid terhadap filemnya Kala Malam Bulan Mengambang. Tak lama selepas itu saya menjadi gembira kerana kemenangan filem itu di Festivel Filem Malaysia 21.

Jadi apabila mendapat peluang bahawa terdapat seminar 'Menjejaki Pemikiran Mamat khalid, sudah pastilah tak akan saya lepaskan. Semina pada ketiak itu berjalan lancar. Namun kehadiran ahli-ahli panel telah mengganggu ruang antara hadirin berkomunikasi dengan Mamat Khalid. Tidak saya nafikan bahawa pandangan ketiga-tiga panel, A. Wahab Hamzah, Dr. Zul dan Norman Yusoff banyak membantu dalam menyampaikan wacana. Terasa seperti berada dalam atmosfera dewan kuliah. Namun, seminar itu bukan berjudul 'MEMAHAMI PEMIKIRAN MAMAT KHALID' tetapi "MENJEJAKI'

Saya berada di situ sepatutnya pulang dengan meklumat bahawa, pemikiran Mamat Khalid adalah hasil tuaian beliau banyak membaca, atau menonton atau budaya persekitarannya. Ataupun kerana beliau telah berkelana ke Eropah untuk mencari makna sebuah filem. Oleh kerana panel-panel yang begitu kritis, saya tiba-tiba terasa sangat kecil untuk bertanya, maka terpaksa saya tanyakan hal ini secara peribadi selepas seminar. Seperti permintaan dan janji beliau kepada saya ketika di tempat kejadian dan di blog beliau, beliau akan bercerita di blognya.


1 comment:

amer zaman said...

banyak kelemahan yang perlu diperbaiki..

keintelektual dan kajian awal yang dilakukan panel menjadikan hadirin segan untuk bertanya...

akhirnya, jumpa beliau dan tanya secara terus..